Mesir dan Harga Minyak

'Harga minyak RON 97 naik lagi sebanyak 10 sen kepada RM2.50 seliter'

Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.
Persoalannya , mengapa harga minyak boleh naik ?
Faktor ketidakstabilan politik di Mesir (Egypt) yang dikhuatiri merebak ke negara Arab lain memberi kesan kepada harga minyak. Bagaimana?



Berikut adalah petikan akhbar dari Berita Harian 1 Februari 2011 untuk dikongsi bersama bagi memudahkan kita memahami fenomena ini:


Kontrak minyak mentah bermutu tinggi di pasaran komoditi New York, ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Mac naik 74 sen kepada AS$90.09 setong ketika didagangkan pasaran hadapan elektronik Asia petang semalam.
Pada Jumaat lalu, ia melonjak 4.3 peratus kepada AS$89.34 setong.


Peningkatan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan di NYMEX sejak September 2009 sama ada dari segi peratusan mahupun nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
“Kebimbangan utama ketika ini adalah kemungkinan protes penunjuk perasaan di Mesir melarat ke Arab Saudi dan jika ia menjadi kenyataan, segala urus niaga termasuk penghantaran minyak akan tergendala,” katanya pada agensi berita itu semalam. 

Menurut Joint Oil Data Initiative, iaitu organisasi perangkaan negara pengeluar utama minyak mentah dunia, menyatakan Mesir, negara ke-21 pengeluar minyak terbesar dunia, mengeluarkan kira-kira 673,000 tong minyak sehari. 

Namun, yang paling dirisaukan,
Mesir adalah hab kepada rangkaian perhubungan pembekalan minyak utama dunia di mana letaknya Terusan Suez dan sebuah saluran paip sepanjang 200 batu yang dikenali sebagai saluran Sumed. 

Terusan Suez berfungsi sebagai transit utama kepada semua aktiviti penghantaran minyak dan bahan api dunia yang menghubungkan antara Teluk Parsi ke hemisfera barat, manakala saluran Sumed berfungsi sebagai transit alternatif kepada Terusan Suez. 

Perangkaan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pula menyatakan, kira-kira 1.8 juta tong minyak mentah dan produk bertapis berasaskan minyak mentah lain, dihantar menerusi Terusan Suez pada 2009. 

Saluran Sumed pula pada tempoh itu mengangkut sebanyak 1.1 juta tong minyak sehari. – Agensi 



Anda tahu di mana Terusan Suez (Suez Canal)? Terusan yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah.  Google Earth mungkin boleh membantu anda.


Refleksi Minda


Sama ada dunia perniagaan atau dunia pekerjaan lain, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.  Ilmu pelbagai bidang perlu diteroka dan dikuasai.  Sesungguhnya tidaklah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.  Sementara usia masih muda, jom kita meriahkan majlis-majlis ilmu. 


No comments:

Post a Comment